Akibat terkesan dengan salah faham yang berlaku, aktres Nora Danish bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak memutar belitkan kenyataannya mengenai isu penolakan cukai disiarkan di sebuah akhbar baru-baru ini.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 34, berkata, maklumbalas yang diterima daripada orang awam dilihat telah menjejaskan reputasinya sehingga mendapat liputan daripada media antarabangsa.

“Kenyataan tersebut (disensasikan oleh sesetengah media) adalah bersifat sangat memalukan, mengelirukan dan palsu sehingga mendapat liputan luas media antarabangsa. Saya tidak pernah menyatakan perlunya pengecualian cukai kepada golongan artis. Saya cuma memberi komen tentang penolakan di bawah S.39 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Selanjutnya, kini kehidupan peribadi, hubungan peribadi dan pihak ketiga yang tiada kena mengena dengan isu ini serta perniagaan saya telah menerima kesan kebencian, menimbulkan skandal dan menerima penghinaan sehingga menjejaskan karier saya.

“Disebabkan keadaan ini saya tiada pilihan selain melantik Tetuan David Gurupatham & Koay sebagai peguam saya bagi mengambil tindakan undang-undang serta merta kepada pihak yang telah menyebabkan fitnah sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

K! ONLINE